Tuesday, July 21, 2009

KATA NAMA: H1N1 masih terkawal - TPM

H1N1 masih terkawal - TPM

KUALA LUMPUR 20 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat tidak bimbang dengan penularan pandemik selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini walaupun lebih 800 kes telah dicatatkan kerana ia masih bersifat terkawal.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan pantas kerajaan melalui Kementerian Kesihatan berjaya memastikan kebanyakan yang dijangkiti wabak itu sama ada dari luar negara atau kes tempatan dirawat sehingga pulih.

Katanya, kejayaan itu boleh diukur apabila setakat pagi ini hanya tujuh kes saja yang masih dirawat di hospital.

"Masih terkawal, langkah kita boleh dikatakan berkesan, sekarang pun nampak kes-kes dan insiden baru sudah berkurang, angka tidak seperti awal-awal dulu, mungkin kerana kesan kempen dilancar awal.

"Malah mereka yang dikatakan positif sebelum ini, telah kembali pulih dalam tempoh yang cepat dan bilangan (belum pulih) yang ada kecil," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Kebersihan Awam Bagi Menangani Pandemik Influenza A (H1N1) peringkat kebangsaan.

Hadir sama,Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan timbalannya, Datuk Seri Lajim Ukin.

Mengikut rekod kementerian, sehingga 8 pagi ini, 874 kes influenza dilaporkan di negara ini dengan 567 kes import dan 307 jangkitan tempatan dan tiada kematian dilaporkan.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan, 116,954 kes H1N1 dengan 557 kematian direkodkan di seluruh dunia sehingga 16 Julai lalu.

Dalam ucapannya sebelum itu Muhyiddin berkata, langkah membendung penularan H1N1 kini perlu beralih kepada fasa mempertingkatkan kesedaran orang ramai ke arah pencegahan penyakit itu.

Kata beliau, tidak dinafikan penularan wabak H1N1 berkait rapat dengan kesedaran dan amalan individu terhadap kebersihan diri dan persekitaran.

"Kita tidak boleh ambil mudah, kalau ambil mudah mungkin meningkat dan jadi masalah kepada kita," katanya.

Sehubungan itu beliau menggariskan beberapa langkah yang boleh diambil dalam usaha pencegahan seperti penubuhan Kelab 3K di sekolah-sekolah.

Katanya, kelab itu memberi penumpuan kepada aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan yang dilihat sebagai kaedah terpenting bagi memastikan penyakit menular seperti H1N1 dikekang dengan baik.

"Saya telah sebutkan penting kerjasama daripada masyarakat dan peranan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu menjayakan kempen kita.

"Saya mahu ini diberikan perhatian dan sebab itu minta pihak berkuasa tempatan (PBT) ambil tindakan-tindakan yang sewajarnya dan menguatkuasakan undang-undang yang ada untuk memastikan kebersihan sentiasa dijaga," katanya.

Jelas beliau, selain PBT dan NGO, jawatankuasa penduduk di kawasan perumahan juga perlu membantu menangani penularan H1N1.

"Penyertaan pelbagai pihak itu selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, kempen yang dilancarkan hari ini memerlukan kita bersatu untuk menangani wabak H1N1 ini," katanya.

Katanya, dalam usaha pencegahan penyakit tersebut, aspek-aspek yang selama ini dipandang remeh seperti kebersihan tandas diberikan perhatian sewajarnya.

"Audit yang dijalankan oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan pada 2008 terhadap tandas-tandas awam di kawasan seliaan PBT menunjukkan 16,990 tandas PBT dan swasta berada pada tahap gred C dan D," katanya.

Kata beliau, dari aspek kebersihan, pihak PBT perlu menguatkuasakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan kebersihan tandas-tandas awam dan persekitaran masyarakat dijaga.

"Ini bagi menangani penularan pandemik H1N1," katanya.


sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

No comments: