Tuesday, July 21, 2009

KATA NAMA: Bahasa Formal atau Tak Formal???

Pantun Melayu hebat! Di Dalamnya terkandung pelbagai nilai, jatidiri, pemikiran, akal dan budi masyarakat yang mencipta pantun tersebut.

Bak kata Pak Tenas Effendy, budayawan tersohor dari Riau, bahawasanya pantun itu;

Apa guna orang bertenun,
Untuk membuat pakaian adat;
Untuk apa orang berpantun,
Untuk memberi petuah amanat.

Apa guna daun kayu,
Untuk tempat orang berteduh;
Apa guna pantun Melayu,
Untuk tempat mencari suluh.

Dalam pantun ada ilmu, penuntun, petunjuk, pengajar, pesan, adat, amanah, dakwah, agama, kias ibarat, teladan dan contoh. Dalam pantun juga ada senda gurau, sindir menyindir, kasih sayang, dan sebagainya.

Pantun adalah lingkungan hidup masyarakat Melayu. kenali Melayu dengan memahami pantunnya.

*Rujukan : Pantun Nasehat, Tenas effendy, 2005. Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu, Yogyakarta.

Jelajahi dunia Melayu melalui persuratannya.

Seminar Kebangsaan Puisi Melayu Tradisional –“Pantun, Syair, Gurindam dan Nazam: Ketekalan Minda Melayu”. 24 - 25 Nov 2008 di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Hubungi Encik Saifullizan Yahaya/ Musazliza Mustan Shir. 03-21482480.

Sumber: http://klasik.blogmas.com/2008/10/14/pantun-melayu-hebat/

5 comments:

MawarBerduri88 said...

Pada pendapat saya,pantun merupakan salah satu cara orang Melayu pada masa dahulu untuk menyampaikan isi hati,perasaan,malah digunakan semasa majlis perkahwinan.Betulkah apa yang pendapat saya Dr. Radiah?adakah pantun tergolong sebagai bahasa tak formal?

mastura syamsudin ( 9 ) hmt223 said...

mastura syamsudin ( 9 ) hmt223
Pantun merupakan salah satu bentuk puisi Melayu Tradisional yang di jadikan alat untuk menyampaikan nasihat dalam bentuk hiburan.Sebagai contohnya pantun empat rangkap yang berbunyi seperti berikut...
Pisang emas dibawa belayar,
masak sebiji di atas peti,
hutang emas boleh dibayar,
hutang budi dibawa mati..

Radiah Yusoff said...

Siapakah gerangan mawarberduri88 ini ya???? Mahu rasanya saya mengikut artikel ini: "Swearing can make you feel better, lessen pain", jika saya tahu anda ialah pelajar HMT223 saya.

Radiah Yusoff
Pengajar HMT223

Norliza Abdul Kadir:26:HMT223 said...

Menurut Za’ba (2008:672), pantun inilah cara karangan berangkap yang betul-betul hak Melayu dari asal dan betul-betul mengandungi semangat Melayu. Pantun adalah kaedah Melayu yang sejati bagi menggubahkan alun perasaan “syair” yang sebenar, iaitu menggambarkan fikiran-fikiran hiba, sayu, sedih, suka, sindir, giat dan warna-warna perasaan yang indah seperti hal ehwal berkasih-kasih dan pujuk rayu yang lembut antara kekasih dengan kekasihnya.
Menghasilkan pantun perlulah mematuhi atur-aturanya seperti bentuk yang terdiri dari pantun dua kerat, empat kerat ataupun pantun berkait. Pantun juag perlu ada baris pembayang maksud dan baris maksudnya. Selain itu, pantun juga perlu ada rima tengah dan rima akhirnya agar pantun itu menjadi lunak, indah dan sampai mesej yang ingin disampaikan.
Bergalah-galah ke hulu,
Berenang-renang ketepian;
Bersusah-susah dahulu,
Bersenang-senang kemudian.

Amalan berpantun pada hari ini semakin jauh dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri. Hanya dalam majlis-majlis tertentu seperti pertunangan dan perkahwinan sahaja dialunkan. Andainya tiada usaha mengembalikan amalan murni ini ke dalam kehidupan seharian kita, mungkin suatu hari nanti generasi akan datang akan meminggirkan malah melupakan terus warisan tidak ternilai dalam bahasa Melayu ini.

Pantun boleh dianggap sebagai bahasa formal kerana sering diujarkan dalam majlis formal dalam situasi tertentu sahaja . Binaannya juga ada peraturan dan syarat-syarat yang mesti dipatuhi, bukan sewenang-wenangnya.(Rujuk Za’ba, 2008:675)

azue said...

azrah-hmt 223
sememangnya adat resam Melayu penuh dengan tatasusila.Pantun sebenarnya bukan semata-mata sebagai bahan hiburan sama ada golongan atasan atau bawahan sebaliknya menjadi petunjuk dan panduan. Namun,teguran atau nasihat sebenarnya disampaikan secara halus dan penuh tersirat. Hal ini mungkin bertujuan bagi menjaga hati dan maruah yang dinasihat. Walaupun dari segi susunan ayat, pantun tidak mengikut tatbahasa sebenar.

Angin teluk menyisir pantai
Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai
Asal pandai mengambil hati

Air melurut ke tepian mandi
Kembang berseri bunga senduduk
Elok diturut resmi padi
Semakin berisi semakin tunduk

Daun sirih ulam Cik Da
Makan sekapur lalu mati
Walaupun banyak ilmu di dada
Biar merunduk resmi padi

Buah pelaga makan dikikir
Dibawa orang dari hulu
Sebarang kerja hendak difikir
Supaya jangan mendapat malu

sumber: http://penyair.wordpress.com/2007/06/22/pantun-nasihat/