Obama Presiden Amerika ke-44
|
|
WASHINGTON 20 Jan. – Barack Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), sekali gus mencatat sejarah sebagai presiden berkulit hitam pertama dalam sejarah AS disaksikan oleh ratusan ribu orang di bangunan Capitol di sini pukul 1.07 pagi waktu Malaysia.
‘‘Saya, Barack Hussein Obama, bersumpah bahawa saya akan melaksanakan tugas sebagai Presiden Amerika Syarikat secara jujur dan yang terbaik, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Amerika Syarikat, dengan nama Tuhan,’’ kata Obama, disambut sorakan orang ramai.
Beliau melafazkan ikrar di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi, John Roberts sambil meletakkan tangan kirinya di atas Kitab Bible yang dipegang oleh isterinya, Michelle. Berada di sisi ialah dua anaknya, Sasha, 7, dan Malia, 10.
Disaksikan oleh Presiden George W. Bush, yang menempuh lapan tahun yang bergolak di White House, upacara mengangkat sumpah Obama diadakan di hadapan orang ramai yang mengibar bendera yang dianggarkan berjumlah sejuta orang di dataran Washington.
Jutaan lagi di seluruh dunia juga menonton Obama yang bapanya merupakan lelaki berkulit hitam dari Kenya dan ibu berkulit putih dari AS.
Terdahulu, Joseph R. Biden mengangkat sumpah sebagai Naib Presiden di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, John Paul Stevens sambil isterinya, Jill memegang kitab Bible dan disaksikan oleh anak-anaknya, Ashley Blazer, 28, Beau, 40, dan Hunter, 39.
Obama melangkah ke White House dengan membawa mesej harapan kepada sebuah negara yang dilanda kemelesetan ekonomi, terlibat dengan dua perang yang berlarutan dan dahagakan perubahan selepas lapan tahun di bawah pentadbiran George W. Bush.
Sejarah perhubungan kaum di Amerika menjadi tumpuan kerana secara kebetulan, cuti umum bagi menghormati pemimpin hak sivil yang mati dibunuh, Martin Luther King Jr. jatuh sehari sebelum upacara mengangkat sumpah itu.
Majlis angkat sumpah Obama menandakan peristiwa bersejarah yang suatu masa dahulu tidak dapat dibayangkan di AS, negara yang bergelut dengan isu-isu perkauman sejak penubuhannya.
Malah baru beberapa dekad lalu, dasar pengasingan kaum diamalkan di banyak negeri di selatan negara ini.
Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-44 di luar Capitol AS, bangunan Kongres AS yang dibina dengan bantuan hamba kulit hitam.
Beliau mengangkat sumpah atas Kitab Bible sama yang digunakan pada upacara angkat sumpah Abraham Lincoln sebagai Presiden pada 1861.
Lincoln merupakan Presiden yang bertanggungjawab mengeluarkan Perisytiharan Pembebasan bagi menamatkan dasar perhambaan kulit hitam.
Ratusan ribu rakyat Amerika yang tidak menghiraukan cuaca sejuk membanjiri ibu negara yang dikawal ketat ini untuk menyaksikan peralihan kuasa pertama sejak 2001.
Di seluruh dunia, pemilihan Obama meniupkan harapan berjuta-juta penduduk bahawa Amerika akan bersikap lebih terbuka kepada perubahan dan lebih bersedia untuk menerima pandangan negara lain.
Upacara angkat sumpah hari ini menandakan kemuncak pendakian luar biasa bagi Obama, 47, yang melangkah ke White House sebagai Presiden AS keempat paling muda.
Obama telah memarakkan harapan berjuta-juta penduduk di dalam dan luar negara yang mahu AS mengambil haluan baru.
Beliau telah berjanji untuk mengutamakan diplomasi, mencari penyelesaian global terhadap masalah perubahan iklim, menolak penyeksaan dan menutup kem tahanan tentera AS di Teluk Guantanamo.
Tinjauan sebelum upacara hari ini menunjukkan rakyat Amerika yakin Obama berada di landasan yang betul untuk beroleh kejayaan sekalipun beban yang sangat berat diletakkan pada bahunya. – AP
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm
No comments:
Post a Comment