Barack Obama angkat sumpah
WASHINGTON: Barack Obama yang mencatat sejarah sebagai orang kulit hitam pertama diisytihar Presiden Amerika Syarikat (AS) dalam upacara gilang gemilang di sini pagi tadi, memikul harapan tinggi dunia untuk memulihkan hubungan Washington dengan kebanyakan negara, terutama negara Islam.
Obama, 47, anak seorang lelaki dari Kenya dan ibunya, wanita kulit putih dari Kansas, mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-44 di pekarangan bangunan Capitol, disaksikan jutaan manusia yang memenuhi National Mall, dari Capitol Hill ke Tugu Peringatan Lincoln, tempat pejuang hak asasi manusia kulit hitam, Martin Luther King Jr menyampaikan impiannya dalam satu ucapan bersejarah mengenai perpaduan kaum di Amerika pada 1963.
Tinjauan pendapat Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) London mendapati krisis kewangan global patut menjadi keutamaan teratas Obama, diikuti pengunduran tentera AS dari Iraq, menangani perubahan cuaca dan merundingkan perdamaian di Asia Barat.
“Apabila kita berkumpul di sini di Amerika, kita harus sedar bahawa nasib kita adalah berkait rapat di antara satu sama lain. Bila kita berjalan, kita berjalan seiringan.
“Tatkala kita maju ke depan bagi menunaikan janji kita kepada negara ini, kita tidak harus lupa pengajaran yang diperoleh daripada (Martin Luther) King - bahawa walaupun impian kita berasingan, ia adalah satu,” kata Obama.
Pagi semalam, Obama dan isterinya, Michelle memulakan upacara pelantikan dengan mengunjungi presiden yang akan melepaskan jawatan, George W Bush dan isterinya, Laura Bush di rumah baru mereka di Rumah Putih.
Selepas mengangkat sumpah untuk ‘memelihara, melindungi dan mempertahankan’ perlembagaan AS, Obama menyampaikan ucapan sulungnya sebagai presiden.
Orang ramai mengharungi cuaca sejuk di Washington pagi semalam dan berasak-asak untuk menyaksikan pengisytiharan presiden baru mereka sama ada dari bahagian depan kepada sebilangan yang bernasib baik atau dari skrin gergasi bagi ribuan lain.
Renita King, 46, terbang dari Hosuton, Texas dengan anak lelakinya berusia enam tahun, Arthur, bagi menyaksikan penghapusan prejudis perkauman yang terpaksa dilalui oleh ibunya yang kini berumur 73 tahun.
Perang terhadap keganasan adalah sebahagian daripada cabaran yang menanti Obama. Dari Gaza ke Guantanamo, beliau menghadapi dunia yang penuh dengan pergolakan.
Selepas upacara mengangkat sumpah, Obama dan Naib Presiden, Joseph Biden, makan tengah hari dengan anggota Kongres, hakim Mahkamah Agung dan barisan Kabinet baru termasuk Setiausaha Negara, Hillary Clinton.
Ia disusuli perarakan di Pennsylvania Avenue dengan penyertaan pancaragam, anggota veteran tentera, pekerja kesatuan sekerja dan pelajar, mengiringi Obama ke Rumah Putih untuk mengambil alih kuasa di Pejabat Oval dan tempatnya dalam sejarah.
Obama mempunyai dua anak perempuan, Malia dan Sasha dan adalah Keluarga Pertama termuda sejak John F Kennedy, yang menduduki Rumah Putih pada 1960-an. - AFP
sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/BeritaUtama/20090120234918/Article
No comments:
Post a Comment