Sunday, January 25, 2009

banyak ilmu yang masih boleh dipelajari

Nikmati dunia orang pekak

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my


SOFIA Adilah bersama pelajar bahasa isyarat di Wisma YMCA, sambil diperhatikan oleh guru bahasa, Anne Laura (dua dari kiri).

Dengan mempelajari bahasa isyarat Sofia lebih tahu kehidupan sebenar dan memahami masalah golongan cacat pendengaran

BERPENDIDIKAN tinggi, mempunyai pekerjaan yang menjamin pendapatan sudah pasti lebih daripada mencukupi bagi sebilangan anak muda, apatah lagi jika hidup di bandar besar.

Namun, bagi yang inginkan kelainan serta mempunyai sikap ingin maju dan mempunyai kelebihan berbanding orang lain, mereka sanggup berkorban demi mencapai cita-cita walaupun ia dilihat sekadar memenuhi keinginan hati.

Berkhidmat sebagai sukarelawan sudah dianggap memadai tetapi bagi Sofia Adilah Basar, 26, ia lebih daripada itu kerana beliau memenuhi cita-cita untuk menguasai banyak bahasa dunia termasuk mempelajari bahasa isyarat.

Pada mulanya, jurutera mekanikal ini sekadar berseronok mengisi masa lapang untuk mempelajari bahasa isyarat bersama beberapa sepupunya tetapi kini semakin serius selepas bergaul dengan golongan tidak bernasib baik yang cacat pendengaran.

Beliau kini lebih faham masalah yang dihadapi golongan itu sekali gus memudahkannya berurusan dan membantu setakat yang termampu. Sekurang-kurangnya golongan berkenaan berasa mereka dihargai dan langsung tidak tersisih kerana masih ada orang normal yang masuk ke dunia mereka.

“Dalam keadaan biasa, saya tak boleh masuk ke dalam dunia orang pekak, tetapi selepas mengikuti kelas bahasa isyarat, saya boleh nikmati hidup di dunia orang pekak, masuk ke alam mereka. Sekarang, saya lebih tahu bagaimana mereka hidup, boleh faham masalah mereka.

“Dunia mereka sangat menarik. Keputusan untuk mempelajari bahasa isyarat memang tepat dan berbaloi,” katanya yang turut menguasai bahasa Inggeris, Perancis dan Sepanyol.

Walaupun mempunyai kelayakan akademik yang baik dan menuntut di Imperial College London, (Kejuruteraan Mekanikal), Sofia menganggap dirinya masih kekurangan ilmu pengetahuan dan perlu sentiasa belajar.

Sudah pasti bidang bahasa yang menjadi pilihan dan ketika pulang ke tanah air pada 2006, beliau pada awalnya bercadang untuk mempelajari bahasa Mandarin sebelum menukar rancangan kepada mengikuti kelas bahasa isyarat.

“Saya bersama beberapa sepupu sekadar berseronok tetapi selepas tamat peringkat asas dan peringkat satu, kami lebih bersemangat kerana sebenarnya ada ‘sesuatu’ di sebalik ilmu ini,” katanya yang kini mengikuti kelas setiap minggu di Wisma YMCA, Brickfields, Kuala Lumpur.

Dua sepupunya, Wan Sarah Farina Wan Zaki, 27 dan Wan Puspa Melati Wan Abdul Halim, 26, pensyarah di Universiti Industri Selangor (Unisel) juga mengikuti kelas di tempat sama sejak Februari 2008.

Kelebihan itulah yang digunakan tiga anak gadis ini untuk memantapkan penguasaan mereka dengan mempraktikkan latihan sesama sendiri dan sering berkumpul di rumah Puspa di Taman Tun Dr Ismail (TTDI). Pada masa sama turut berkongsi ilmu asas kepada ahli keluarga masing-masing.

“Sebagai orang normal yang dilahirkan sempurna, kami sangat bersyukur kerana dapat menikmati apa yang dihajati. Ia cukup berbeza dengan orang pekak. Contoh paling mudah ialah ketika menonton televisyen, mereka tidak faham apa yang disiarkan, cuma nampak gambar saja.

“Apa yang mereka buat ialah menonton filem atau rancangan yang mempunyai sari kata, semata-mata untuk memahami perjalanan cerita berkenaan,” katanya.

Atas dasar simpati serta niat untuk memantapkan penguasaan bahasa isyarat, mereka kerap menyertai aktiviti luar membabitkan peserta pekak.

Antaranya ialah menyertai sambutan krismas yang diadakan khas untuk mereka di pusat beli belah One Utama, Damansara Utama. Di sana, mereka mempunyai tugasan membantu kumpulan berkenaan dan pada masa sama mempunyai tugasan mendapatkan maklumat latar belakang peserta.

Ketika penulis mengunjungi Sofia di pusat pengajiannya di YMCA, beliau bersama enam rakan sekelas sedang menduduki peperiksaan membabitkan sesi dialog bersama orang pekak dikendalikan guru kelas Anne Laura.

Rasa kagum melihat sekumpulan enam wanita normal ini berkomunikasi dengan tenaga pengajar dan tiga lagi orang pekak sepanjang sesi berkenaan. Mereka mengikuti kursus Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang dikatakan lebih mudah difahami berbanding beberapa lagi skop pengajian.

“Sebenarnya masih banyak yang perlu dipelajari. Kadang kala saya sendiri tidak berapa faham apa yang mereka bualkan kerana pergerakan tangan terlalu cepat. Menariknya, mereka sedia membantu ketika berbual dengan kami.

“Bahasa isyarat juga membabitkan emosi air muka. Sebelum ini kami sudah mempunyai asas termasuk isyarat mengenai huruf,” katanya.

Profil:

Sofia Adilah Basar

Usia:
26

Ibu: Wan Fatimah Othman, 59

Bapa: Basar Juraimi, 60

Bilangan dalam keluarga: Anak bongsu daripada dua beradik.

Kakak: Haslina basar, 29.

Pekerjaan: Jurutera Mekanikal, Scomi Group.

Pendidikan:

  • Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Shah Alam, Selangor (1994).

  • Sekolah Seri Puteri, Kuala Lumpur (1995-1999).

  • Kolej Matrikulasi Yayasan Saad, Lembah Beringin, Selangor (2000-2001)

  • Imperial College London, (Kejuruteraan Mekanikal) 2002-2006.



    Info

    Bahasa Isyarat Malaysia (BIM)


  • Kelas 2 jam sehari setiap Sabtu di Wisma YMCA

  • Kursus peringkat asas selama tiga bulan.

  • Kursus level 1 selama tiga bulan.

  • Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) berbeza dengan bahasa isyarat Antarabangsa.

  • sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Personaliti/20090118042829/Article

    No comments: