Saturday, August 16, 2008

LEE CHONG WEI & OLYMPICS - ALL THE BEST!!!


TAK TERKATA: Reaksi Chong Wei yang berlari dan melompat ke dalam pelukan Misbun selepas menang saingan separuh akhir ke atas Hyun-il 21-18, 13-21, 21-13, petang semalam. Dia akan menentang Lin Dan pada final esok.

Sukan Olimpik: 'Saya kejar kepuasan peribadi'


Emas Sukan Olimpik adalah sama penting seperti nyawa saya: Chong Wei

TIADA siapa yang akan menyalahkan Lee Chong Wei seandainya dia berasakan dunia ini miliknya, malam tadi sesudah memastikan Malaysia akan pulang dari Beijing sekurang-kurangnya dengan satu pingat.

Terbaring di gelanggang sebaik mengesahkan tiket ke final badminton perseorangan lelaki sebaik menewaskan Lee Hyun-il di separuh akhir, 21-18, 13-21, 21-13, sebelum bangun meluru memeluk erat jurulatihnya, Misbun Sidek yang air matanya jelas bergenang di kelopak matanya, sudah cukup menggambarkan kelegaan yang dirasainya.

Biarpun ada satu lagi halangan yang menentukan warna pingat sama ada emas atau perak, Chong Wei sudah mencipta sejarah menjadi perseorangan pertama negara melangkah ke final Sukan Olimpik selepas Rashid Sidek sekadar memungut gangsa pada 1996.

Ini juga adalah final kejohanan utama yang pertama buat Chong Wei, 26, dan pemain berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu tidak mahu sekadar puas dengan kemaraan itu sahaja, sebaliknya tetap memburu peluang mencari emas selepas membantu negara mengakhiri kemarau pingat di Olimpik sejak dua temasya lalu.

Di Atlanta 1996, Malaysia memenangi perak menerusi pasangan, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock dan gangsa yang dimiliki Rashid.

'Pingat perak sudah dikira dalam tangan tapi emas Sukan Olimpik adalah sama penting seperti nyawa saya. Saya memang mahukan pingat itu bagi diri sendiri selepas bekerja keras selama ini, selain untuk Misbun yang banyak membantu saya.

"Ganjaran kerajaan tidak pernah saya fikirkan sehingga kini kerana saya mengejar kepuasan peribadi.

"Saya pasti akan beraksi bermati-matian di final nanti," katanya yang mengakui lega bebanan besar yang ditanggungnya sudah berakhir sebaik mengesahkan tiket ke final selepas mengharungi perlawanan selama 62 minit itu.

Malah, Chong Wei menjelaskan dia tidur kurang daripada enam jam kelmarin kerana menanggung beban selepas menjadi satu-satunya wakil negara yang mara ke separuh akhir dalam acara badminton.

Begitupun, dia kini pasti tenang menghadapi perlawanan akhir, esok kerana tekanan lebih dirasai pemain tuan rumah, Lin Dan yang turut layak ke final selepas menewaskan rakan senegaranya, Chen Jin 21-12, 21-18.

Namun, Chong Wei yang bermula baik pada set pertama tiba-tiba merudum prestasinya pada set berikut apabila menyerah 11 mata berturut-turut kepada lawan selepas mendahului 6-5 sebelum tewas 13-21.

"Banyak kesilapan yang saya lakukan kerana ketika itu agak sukar menangani kelajuannya," kata Chong Wei.

Begitupun, Chong Wei menjelaskan keyakinannya untuk menang, memuncak apabila kedudukan 15-10 pada set penentuan itu bagi mencatat rekod pertemuannya dengan Hyun-il kepada 6-5 yang berpihak kepadanya.

sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Sukan/20080815234542/Article, Sabtu, 16 Ogos 2008, 14 Syaaban 1429

LATIHAN

1) Muatkan dalam satu jadual yang lengkap yang memperlihatkan penggolongan kata, contoh perkataan, dan alasan untuk penggolongan tersebut.

2) Berikan rumus morfografemik dan RP morfologi untuk perkataan yang mempunyai lebih daripada satu morfem.

3) Kenal pasti fungsi gramatis dan perlihatkan ujian untuk pengenalpastian tersebut.

4) Muatkan dalam satu jadual yang lengkap yang memperlihatkan penggolongan frasa, contoh frasa, dan alasan untuk penggolongan tersebut. (Gunakan definisi frasa mengikut nahu tradisional, dan bukan X-berpalang.)

5) Muatkan dalam satu jadual yang lengkap yang memperlihatkan penggolongan klausa, contoh klausa, dan alasan untuk penggolongan tersebut. (Gunakan definisi frasa mengikut nahu tradisional, dan bukan X-berpalang.)

6) Terjemahkan ayat bertulis tebal di bawah ke dalam bahasa Inggeris. Bincangkan binaan ayat ini dan terjemahannya dari tahap morfologi hinggalah ke tahap sintaksis. Perbincangan anda perlu disertai dengan RP, prinsip, konvensyen, dan konsep utama.

Di Atlanta 1996, Malaysia memenangi perak menerusi pasangan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock dan gangsa yang dimiliki Rashid.

7) Bentuk (i) ayat pasif dan (ii) empat ayat soal dari ayat bertulis tebal di atas. Kemudian bincangkan binaan ayat-ayat anda ini di tahap sintaksis sahaja.Perbincangan anda perlu disertai dengan RP, prinsip, konvensyen, dan konsep utama.

No comments: