Kesopanan bahasa jati diri 1Malaysia
Sesuatu harus dilakukan segera sebelum ia menjadi budaya masyarakat Malaysia moden. Sesungguhnya, semua kaum yang membentuk masyarakat Malaysia sama ada Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazandusun, walaupun komuniti bahasa berlainan tergolong dalam komuniti wacana sama, yakni sebagai masyarakat Timur.
Komuniti ini amat dikenali dengan budi bahasa mulia sejak sekian lama. Budi bahasa antaranya merangkumi kesopanan bahasa adalah cara hidup kita yang bukan saja diamalkan setiap masa, malah dikongsi bersama selain diperturunkan kepada setiap generasi sebagai kelakuan yang tinggi atau positif nilainya.
Budi bahasa ini juga membezakan kita sebagai orang Timur dengan masyarakat Barat. Budaya kita, yakni cara hidup Timur termasuk pengucapan terima kasih yang diwarisi daripada generasi terdahulu berlaku melalui sosialisasi.
Ia proses yang memperlihat generasi muda belajar atau diajar mengenai budayanya, dalam kes ini untuk mengucapkan terima kasih daripada masyarakatnya, khasnya golongan tua.
Selain itu, perlakuan golongan tua juga menjadi rujukan utama selain teladan penting mengenai tingkah laku sopan sama ada bahasa atau kelakuan sosial baik yang lain.
Antara sebab generasi muda tidak memperlihat kesopanan bahasa pada hari ini, tidak dapat dinafikan kerana sosialisasi salah yang diberikan oleh golongan tua kepada mereka.
Dalam soal kesopanan bahasa ini, generasi tua perlu mendidik belia bahawa ia adalah norma yakni tindakan yang bukan saja betul, malah yang terpuji pada setiap masa.
Kesopanan bahasa juga perlu dididik kepada golongan muda sebagai nilai baik, tinggi dan positif yang senantiasa dialu-alukan semua kaum di Malaysia dan sesiapa saja di mana jua.
Sempena gagasan 1Malaysia, kesopanan bahasa, antaranya mengucapkan terima kasih atau memohon maaf perlu dijadikan norma yang dikongsi bersama dan nilai kepunyaan semua kaum dan puak setiap keluarga sama ada Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazandusun oleh masyarakat Malaysia dalam mendidik anak kecil mereka.
PROF DR TEO KOK SEONG,
Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu Institut Alam dan
Tamadun Melayu, UKM.
sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Surat/20100222230744/Article/index_html
No comments:
Post a Comment