Saman demi jaga nama baik
BUKAN berita asing di negara jiran jika kerajaannya menyatakan hasrat untuk menyaman mana-mana penerbitan kerana menyiarkan artikel yang boleh dirumuskan sebagai menjejaskan integriti atau mempersoalkan kredibiliti kerajaan itu.
Adalah menjadi perkara biasa bagi barisan kepimpinan di negara itu dan negara-negara yang melaungkan kebebasan bersuara serta demokrasi terlampau untuk mengheret mana-mana pihak ke mahkamah kerana perkara yang sama.
Di Malaysia juga tidak ketinggalan isu saman menyaman. Menjadi 'makanan harian' akhbar-akhbar tempatan melaporkan perihal si polan disaman dan menyaman. Ada saja isu yang boleh dikaitkan dengan alasan untuk mewajarkan tindakan saman itu.
Paling popular saman fitnah dan kenyataan palsu merosakkan nama baik seseorang. Tidak kurang popular dan yang sering dibangkitkan adalah berkaitan hak asasi manusia (yang negara pencipta hak tersebut sendiri tidak pernah akur).
Kerajaan di negara ini dan barisan kepimpinannya sering disaman atas pelbagai alasan. Kerajaan Malaysia pernah disaman oleh Lim Kit Siang berhubung isu pembayaran tol di Lebuh Raya Utara Selatan.
Teresa Kok menyaman kerajaan atas alasan dia ditangkap dan ditahan secara tidak sah dan menyalahi undang-undang.
Itu sekadar contoh saman yang dikenakan ke atas kerajaan negara ini.
Yang berada di senarai teratas terdedah kepada saman fitnah dan niat merosakkan nama baik seseorang (mestikah seseorang itu mempunyai nama baik?) adalah akhbar. Akhbar ini misalnya pernah dan sedang disaman kerana dituduh menyiarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menyebabkan pemohon berasa difitnah atau berasa nama baiknya terjejas (pakar undang-undang mungkin boleh menghuraikan definisi 'nama baik').
Nilai saman pula mencecah angka ratusan juta. Mungkin kerana nama baik yang sebelum ini terjaga tetapi rosak teruk akibat penyiaran berita-berita atau artikel di dada-dada akhbar, maka si penuntut yakin dia layak menerima amaun tidak masuk akal itu.
Trend menyaman akhbar kerana isu-isu seperti itu semakin menjadi-jadi sejak akhir 1990-an. Malah saman menyaman dengan menuntut ganti rugi beratus juta ringgit semacam menjadi tradisi. Mungkin didorong oleh paras cerdik undang-undang di kalangan rakyat negara ini yang semakin meningkat.
Tidak mustahil juga kemungkinan disebabkan betapa si penuntut yang berasa nama baiknya terjejas atau mendapati dirinya difitnah, maka dia yakin jumlah sebanyak itu menyamai nilai malu yang terpaksa ditanggung apatah lagi selepas nama baiknya terjejas.
Timbul persoalan, adakah hasrat atau niat saman menyaman hanya berlegar di kalangan pembangkang. Tidak tersentuh langsungkah naluri barisan pemimpin kerajaan di negara ini atau kerajaan itu sendiri untuk berbuat demikian.
Tidak pernahkah mereka berasa terjejas maruah atau terpalit nama baik dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan?
Dan bolehkah trend seperti ini dibiarkan menjadi milik sebelah pihak tanpa ada usaha di pihak pemimpin-pemimpin kerajaan untuk membuktikan (menerusi proses undang-undang) bahawa mereka juga mempunyai maruah dan nama baik yang perlu dijaga.
Membiarkan pembangkang menyaman barisan kepimpinan secara semberono dengan mengheret bersama media yang menyiarkan kenyataan yang dikatakan menjejaskan nama baik mereka, umpama mengiyakan kebenaran dakwaan dan tuduhan kumpulan tersebut.
Sedangkan pada masa yang sama kumpulan penuntut saman itu tidak pernah terlepas di bibir mereka untuk memfitnah, menuduh, memburuk-burukkan, menjejaskan imej kerajaan dan barisan kepimpinannya.
Agensi-agensi kerajaan juga tidak terlepas. Polis Diraja Malaysia digelar barua kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dituduh pembunuh rakyat Malaysia, ada pemimpin digelar 'mahazalim', ada juga yang disamakan dengan 'firaun', tidak kurang juga diburuk-burukkan dengan lontaran kata-kata yang tidak tergamak untuk manusia mempunyai otak mengulanginya.
Kesemuanya itu tidak terhenti setakat kata-kata di ceramah. Tuduhan dan fitnah seperti itu dicetak di akhbar-akhbar parti pembangkang tanpa berselindung sedikit pun. Malah diulang dengan begitu kerap sehingga meresapi pemikiran rakyat negara ini dan hasilnya tidak boleh tidak - pasti menjejaskan nama baik seseorang pemimpin dan membawa sekali elemen fitnah.
Bukankah sepatutnya ada gerakan di peringkat pemimpin-pemimpin yang dinamakan dalam tuduhan dan fitnah itu supaya menggunakan hak mereka untuk turut mengambil tindakan undang-undang sekurang-kurangnya bagi menjaga nama baik mereka.
Begitu juga dengan kerajaan Malaysia dan agensi-agensi di bawahnya. PDRM, SPRM, pihak berkuasa tempatan, badan kehakiman yang sering dituduh berat sebelah, tidak bermaruah, tidak berintegriti, tiada kredibiliti dan pelbagai tuduhan lain tidak boleh terus-terusan berdiam diri.
Seperti mana kerajaan di negara jiran bertindak menyaman mana-mana pihak yang dipercayai telah mempersoalkan integriti kerajaan dan agensi di bawahnya, usaha yang sama seharusnya dilaksanakan di negara ini.
Ia seharusnya menjadi salah satu cara untuk menunjukkan ketegasan barisan pemimpin dan kerajaan itu sendiri bahawa tindakan memfitnah dan melemparkan tuduhan buruk serta keterlaluan tidak akan dibiarkan sedemikian rupa.
Jika pemimpin pembangkang pantang ditegur pantas menyaman dan mendesak mahkamah segera mendengar kes mereka maka apa salahnya jika barisan kepimpinan kerajaan turut berbuat demikian.
Bukankah segala-galanya itu dihalalkan olah undang-undang dan tunjukkan kepada rakyat bahawa barisan kepimpinan dan kerajaan itu sendiri tidak boleh sewenang-wenangnya difitnah dan dilempar dengan pelbagai tuduhan.
Apatah lagi tuduhan yang boleh saja menjejaskan imej negara sehingga meresapi minda rakyat lantas membentuk persepsi buruk yang amat sukar dipulihkan.
Sedarlah bahawa tindakan saman menyaman kerajaan biar pun dilihat remeh, hakikatnya ada kesan yang sangat dalam sehingga parutnya membekas di hati rakyat dan boleh sahaja menghilangkan kepercayaan mereka kepada kerajaan.
Negara jiran yang sering dijadikan contoh dari segi kecekapan pentadbiran dan pemerintahannya mesti juga diteladani dalam soal mendisiplinkan rakyatnya dan menjaga nama baik negara.
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dicemuh di sini ada diguna pakai di negara itu begitu juga di negara 'induk' hak asasi manusia.
Sebaliknya kebebasan bersuara dengan melemparkan tuduhan serta fitnah tidak diguna pakai di situ, malah sesiapa yang berbisik mengenainya pun segera disumbat di bawah tanah tanpa banyak bicara.
Semua pihak mesti belajar. Keterlaluan memberi ruang dalam apa perkara sekali pun termasuk membiarkan kerajaan dan barisan pemimpinnya terus disaman akan mengundang keruntuhan.
Bermula dengan keruntuhan nama, tidak mustahil pengakhirnya kuasa yang sedang dijunjung tersungkur di hujung kaki.
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
No comments:
Post a Comment