Corazon Aquino meninggal
|
|
MANILA 1 Ogos - Bekas Presiden Filipina, Corazon Aquino yang pernah mengetuai revolusi Kuasa Rakyat, yang menggulingkan pemerintahan diktator Ferdinand Marcos dan seterusnya memulihkan demokrasi di negara ini, meninggal dunia hari ini selepas bertarung dengan kanser kolon selama 16 bulan.
Keluarga mendiang mengumumkan kematian beliau awal hari ini.
"Ibu kami meninggal dunia dengan aman pada pukul 3.18 pagi ini disebabkan kegagalan fungsi jantung dan pernafasan," jelas Senator Benigno Aquino Jr dalam kenyataannya di luar Pusat Perubatan Makati di Manila, tempat Corazon dirawat.
'Cory' Aquino melonjak ke puncak politik di republik ini pada 1986 apabila memimpin berjuta-juta rakyat Filipina dalam protes terhadap pemerintahan rejim Marcos yang telah memenjarakan beribu-ribu penentang dalam tempoh 20 tahun pemerintahannya.
Ketika rakyat negara ini terkejut dengan berita kematiannya, Presiden Gloria Macapagal Arroyo mengisytiharkan tempoh berkabung selama 10 hari sebagai menghormati Aquino yang disifatkan sebagai 'harta negara'.
"Beliau (Corazon) mahu kami mengucapkan terima kasih kepada setiap seorang daripada kamu atas doa dan kasih sayang serta sokongan yang berterusan.
"Adalah menjadi harapannya supaya kita semua berdoa untuk satu sama lain dan untuk negara," kata Benigno.
Arroyo yang berada di Amerika Syarikat (AS) untuk lawatan rasmi berkata, Corazon telah mengetuai revolusi yang memulihkan demokrasi dan undang-undang di Filipina pada saat-saat genting.
Bekas pembantu peribadi dan setiausaha akhbar Corazon, Teodoro Locsin yang juga rakan rapat keluarga mendiang, dilihat menitiskan air mata melalui siaran televisyen.
"Kejujuran dan kemuliaannya tidak pernah gagal. Dia tidak pernah meminta balasan," ujar Locsin.
Presiden AS, Barack Obama turut bersedih atas kematian Corazon, dalam kenyataan yang dibacakan oleh Setiausaha Akhbar White House, Robert Gibbs. - AFP
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm
No comments:
Post a Comment