Thursday, August 6, 2009

Data Asal

'Manusia gajah' dalam perut teksi
Hishamuddin Rais
Jul 13, 09
1:36pm
Aku pun berdiri di bibir jalan menunggu teksi. Sebuah teksi sampai, aku membuka pintu untuk masuk. Masuk ke dalam sebuah teksi samalah seperti memasuki sebuah dunia baru. Dua susuk yang tidak pernah berkenalan sepanjang hidup tiba-tiba akan berkongsi untuk sementara waktu dalam sebuah ruang sempit.

Seperti Stagecoach filem John Ford – manusia sering terperangkap dalam ruang dan waktu di mana mereka tidak memiliki pilihan – jika apa-apa berlaku.

Apabila memasuki teksi, mata aku sering liar memerhati untuk meneliti siapakah susuk yang akan memandu aku pulang ke rumah. Mata akan perpandangan. Pemandu dan penumpang – dua susuk ini akan menilai baik budi manusia sebaik sahaja pintu kereta dibuka dan ditutup kembali.

Seenak sahaja punggung aku duduk di atas tilam kerusi, maka mata aku liar mencari: apakah ada tasbih Masehi yang bergantungan sebagai cara untuk mejauhi diri daripada diganggu oleh mata-mata yang sering berkeliaran mencari kesalahan.

Adakah Patong Biksu yang berperut gendut terpaku di jubin kaca sebagai doa pembuka pintu rezeki yang lumayan. Atau tulisan-tulisan Jawi yang penuh dengan kata-kata Arab yang akan membawa harapan agar terselamat daripada kemalangan.

Mungkin ada terselit gambar Gautama atau Isa anak Mariam dari Nazareth di tepi laci kereta. Semua ini bahasa yang membawa tanda dan makna. Inilah kata-kata pengenalan daripada seseorang pemandu kepada penumpangnya.

Sebuah teksi adalah sebuah dunia untuk si pemandu. Dalam ruang kecil ini dia menjadi saksi alam – dia melihat, dia makan, dia minum dan dia berehat. Ingatkan kembali kisah si pemandu yang benama Travis Bickle yang dimainkan oleh De Niro.
Si pemandu ini melayari seluruh kota New York di waktu malam ketika matanya menolak tidur. Travis melegari malam sehingga jatuh cinta dengan Jodie Foster.

Apabila aku masuk ke dalam teksi, aku melihat si pemandu – agak telah berumur – rambutnya setengah putih. Aku cukup senang sekali apabila bersama dengan pemandu yang ramah. Tapi yang ini belum aku kenali ramah bahasanya. Jika pemandu ramah, ertinya perjalanan kami akan selesa walaupun perjalanannya berasak-asak.

Biasanya, akulah yang akan memulakan surah dengan bertanya – dari mana tadi? Sebaik sahaja soalan ini keluar, ertinya aku ingin berkenalan. Juga pertanyaan ini sebagai tanda yang menyatakan bahawa aku tidak memiliki niat jahat - untuk menyamun atau merompak.

Dari cermin pandang belakang dia memerhati muka aku. Dia menjawab. Lalu kami mesra bersembang. Dia memandu teksi selama 25 tahun. Dulu pernah menjadi pemandu kereta Tuan Mat Salleh – ketika Tanah Melayu baru merdeka.

Mencuba kerja-kerja lain tapi gagal. Kota ini adalah dunianya. Memandu adalah ilmunya. Ada lima anak – tiga telah berumah tangga. Dia telah menjadi datuk. Kini tinggal dengan isteri dan dua anak di Puchong.

Dia bertanya tentang aku. Lalu aku terangkan – aku tinggal dengan tiga ekor kucing dan seekor anjing. Dia ketawa. Setiap kali aku mendapat soalan ini, maka inilah jawapan yang akan aku berikan. Biasanya jawapan aku ini akan disusul dengan satu lagi petanyaan – kenapa tidak kahwin? Maka aku akan menjawab – aku belum cukup modal. Dia ketawa lagi.

Lalu aku pula bertanya apakah ini teksi sendiri. Dia menerangkan - bukan. Dia menyewa teksi ini. Dia tidak memiliki permit untuk memiliki sebuah teksi. Setiap hari dia wajib membayar 35 ke 40 ringgit kepadaa tuan empunya.

Lalu dia bercerita, empat jam awal kerjanya - ke hulu ke hilir di sekeliling kota, bukan untuk dirinya. Dia wajib menyediakaan 40 ringgit dahulu sebelum dirinya sendiri mendapat upah.

Kini dia menyatakan kerisauan – harga minyak naik, harga barang makanan naik. Dan bila hujan datang, rezeki bertambah sempit. Kereta yang berpusu-pusu di dalam kota akan menjadikan dia kehilangan banyak waktu.

Pernah dan semakin selalu dia hanya mendapat 15 ke 50 ringgit sehari. Tetapi si empunya teksi masih wajib dibayar sewanya dengan penuh. Ertinya dia terhutang.

Banyak teksi yang aku naiki – semua pemandu berkisah sedemikian. Amat jarang aku temui si pemandu yang juga si pemilik. Siapakah agaknya si pemilik teksi ini? Syarikat siapakah tuan empunya teksi-teksi yang berselirat dalam kota kita ini?
Alangkah lumayannya hidup tuan empunya teksi – tidak perlu bekerja, tidak perlu berhempas pulas. Hanya mengutip sewa.

Di jubin kereta, aku ternampak wajah Ganesha - terlekat. Ketika aku kecil, aku cukup hairan dengan wajah ini – lelaki berhidungkan belalai gajah. Kali pertama aku melihat muka ini ketika aku belum bersekolah lagi. Ketika itu tanah Melayu ini masih dimiliki oleh orang putih.

Aku ternampak 'manusia-gajah' ini di kotak bedi – rokok daun – dari India. Apabila aku mendewasa, barulah aku sedar bahawa nama 'manusia-gajah' ini ialah Ganesha - jelmaan seorang dewa yang akan membantu umat manusia dalam kesusahan.

Demi Zeus – inilah sifat manusia – mereka menyatakan terima kaseh dengan pelbagai cara. Di dalam bilik teksi yang sempit pun mereka bersujud kepada Yang Esa. Lorong-lorong hidup di bumi ini berselirat dan berselerak - semuanya menuju ke kota yang sama.

Kemudian aku teringat tentang satu berita yang baru aku baca: bahawa kerajaan telah menghebahkan satu dasar teksi yang baru. Semua teksi akan menjadi – pemandu dan sekaligus pemiliknya. Lalu aku surahkan berita baik ini kepadanya.

"Sekarang umur telah 62 tahun... apa saya boleh buat lagi? Kalau saya muda dahulu, bagus. Sekarang nak pandu lima jam satu hari pun susah," rungutnya.

Aku senyap apabila mendengar jawapan itu. Bayangkan selama 25 tahun dia memburuh – membanting tulang – tidak pernah mendapat kesenangan. Baru aku sedar umurnya telah 62 tahun. Dia lahir sebelum negara ini wujud. Dialah warga asli peribumi tanah ini. Tapi dia masih lagi mewajibkan dirinya memandu untuk mencari makan.

Teksi membelok ke lorong rumah aku. Aku pun sampai, membayar tambang dan dia beredar. Apabila teksi itu meluncur, maka disitulah berakhirnya persahabatan kami. Aku jarang akan menoleh lagi. Sesudah membayar tambang, aku menapak pulang.

Aku sedar, tidak mungkin aku akan bertemu sekali lagi dengan dia. Aku cukup yakin bahawa kemungkinan untuk bertemu sekali lagi cukup tipis kerana selama lebih sepuluh tahun - aku sering menggunakan khidmat teksi - hanya sekali aku berpeluang memasuki kembali teksi yang sama.

Aku tidak tahu berapa jumlah teksi dalam kota ini. Pasti banyak. Ia menjadikan pertemuan kali kedua amat susah. Mungkin juga si pemandu beralih pekerjaan. Mungkin juga beralih kawasan. Atau sepertinya, apabila umur telah larut, memandu teksi menjadi satu pekerjaan yang maha berat.

Apabila aku menaiki tangga rumah, aku teringat bagaimana sebahagian besar hidupnya hanyalah di dalam teksi. Lapan jam atau dua belas jam sehari dia belegar-legar di dalam teksi.

Kalau dicampurkan semua waktu itu, berapa tahun agaknya daripada jumlah 62 tahun hidupnya di atas bumi ini?

No comments: