DAP, PKR sokong hasrat Ching Peng mahu pulang
KUALA LUMPUR: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mahu bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang ingin kembali ke tanah air diberi peluang berbuat demikian atas dasar kemanusiaan.
Timbalan Presiden DAP, Dr Tan Seng Giaw, berkata walaupun banyak pihak termasuk beliau pernah merasai penderitaan akibat kekejaman komunis, kerajaan boleh memaafkan Chin Peng sekali gus membenarkan bekas pemimpin komunis itu pulang ke Malaysia.
Beliau turut menolak kemungkinan kembalinya Chin Peng menghidupkan kembali ideologi komunis di negara ini kerana ia sudah mengalami transformasi apabila hampir semua penduduk dunia tidak lagi menerima fahaman itu.
“Walaupun kekejaman komunis meninggalkan kesan mendalam kepada banyak pihak termasuk saya apabila pengetua sekolah dibunuh pada 1950-an, Chin Peng sudah tua dan wajar diberi peluang kedua,” katanya.
Baru-baru ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia atas sebab kemanusiaan. Bagaimanapun, hasrat Chin Peng itu ditentang pelbagai pihak.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua pula berkata, secara peribadi beliau mengharapkan hasrat Chin Peng itu dapat dipenuhi kerajaan atas dasar kemanusiaan kerana sesiapapun layak mendapat peluang kedua.
Beliau meminta semua pihak menilai kes Chin Peng sambil membuat perbandingan dengan kedatangan rakyat Jepun dan British ke negara ini.
“Adakah kedatangan orang Jepun akan membangkitkan kemarahan masyarakat yang menderita ketika penjajahan negara Matahari Terbit itu atau adakah kedatangan rakyat British akan mengembalikan penjajahan oleh negara berkenaan,” katanya.
Tian Chua turut mempertikaikan kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ada parti politik dan pertubuhan tidak berdaftar cuba menyebarkan ideologi komunis.
Katanya, jangan membuat tanggapan lebih awal sebelum Chin Peng kembali ke tanah air kerana bekas pemimpin komunis itu wajar diberi peluang kerana usianya yang lanjut.
“Kita tidak perlu bimbang kehadirannya di negara ini kononnya akan membangkitkan semula fahaman komunis kerana masyarakat sudah menolak ideologi itu dan menerima sepenuhnya prinsip demokrasi negara, malah ideologi itu sudah lama mati,” katanya
sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Nasional/20090527233345/Article/index_html
No comments:
Post a Comment